Thursday, November 12, 2015

Perang Qadisiyah

Pada tahun 636 M, Panglima Besar Sassanid, Rostam Farrokhzad mengetuai tentera Parsi dengan kekuatan 120,000 bagi menyeberangi Sungai Furat ke al-Qadisiyyah di HillaIraq untuk menumpaskan tentera Islam. Rostam beranggapan kemaraan tentera Islam sudah terlalu hampir dengan ibu kota kerajaan ParsiSassanid. Untuk itu, dia mengatur langkah untuk mencegah kemaraan ini dengan mengetuai seluruh angkatan perang Parsi untuk berperang di bumi Qadisiyyah. Para sejarawan menganggap tindakan beliau ini merupakan sebuah kesilapan besar dari segi taktikal kerana berhadapan dengan tentera Arab Islam di bumi mereka bukanlah keputusan yang bijak.


Peta Empayar Sasanid pada tahun 632
Khalifah Umar Al-Khattab mengutuskan 30,000 tentera dibawah arahan Panglima Besar Sa'ad ibn Abi Waqqas untuk menyerang tentera Parsi ini. 
Sebelum berlakunya peperangan, Sa'ad telah menghantar Mughirah bin Syu'bah bertemu Rostam untuk mendakwahnya supaya beriman. Sebelum Mughirah sampai, Rostam telah memerintahkan untuk menghias istana dan singahsananya dengan berbagai-bagai kemewahan dunia disamping memerintahkan pegawai-pegawainya memakai dengan pakaian kebesaran yang mewah untuk menakut-nakutkan utusan orang Islam. Menyedari keadaan tersebut, Mughirah sengaja membawa kudanya memasuki istana ,berjalan diatas hamparan mewah disamping mengoyakkannya dengan tombaknya. Dia mengikat kudanya pada singagsana Rostam tanpa sedikit pun terkesan dengan kehebatan dan kemewahan Kerajaan Parsi.
Peperangan berlaku selama empat hari di mana pada awalnya tentera Islam berkuda tidak mampu berhadapan dengan tentera bergajah Parsi. Setelah dua hari diasak oleh tentera bergajah Parsi, Khalifah Umar mengarahkan Abu Ubaidah Al-Jarrah yang pada ketika itu berada di dalam siri Peperangan Islam-Rom Byzantinemenghantar bantuan ketenteraan seramai 5,000 orang tentera pejalan kaki di bawah pimpinan Panglima Qa'qa ibn Amru. Qa'qa ibn Amru tiba pada malam pertempuran hari kedua. Ketika perbincangan dengan para panglima tentera, Qa'qa berpendapat tentera bergajah Parsi adalah ancaman utama bagi tentera Islam. Lalu, dia mencadangkan agar kuda-kuda dan unta-unta disolek dan dihias dengan hiasan yang menggerunkan. Taktik ini berjaya menakutkan gajah-gajah Parsi.
Pada hari ketiga, 1,000 orang tentera berkuda pimpinan Panglima Hashim ibn Utbah tiba. Di dalam tentera ini terdapat dua orang bangsa Parsi yang sudah memeluk Islam iaitu Dakhar dan Salam. Mereka mencadangkan belalai gajah perang milik kegunaan tentera Parsi hendaklah dipotong dan mata gajah tersebut hendaklah dibutakan bagi mengkucar-kacirkan tentera bergajah Parsi. Taktik ini berjaya. Pertempuran hari ketiga itu dikuasai oleh tentera Islam setelah tunjang utama kekuatan tentera Parsi iaitu tentera bergajah dapat ditewaskan.
Pada hari terakhir pertempuran, Panglima Besar Sa'ad ibn Abi Waqqas menyusun barisan tenteranya. Berbanding Khalid yang gemar menggunakan sepenuhnya tentera berkuda, kumpulan bersayap dan serangan balas yang pantas, Sa'ad lebih gemar menggunakan kumpulan pemanah. Penyusunan barisan tentera berkuda di hadapan, dan tentera pejalan kaki dengan bantuan kumpulan pemanah memberi kelebihan kepada tentera Islam. Sesuai dengan kemahirannya dalam memanah, Sa'ad ibn Abi Waqqas menggunakan sepenuhnya kumpulan pemanah di hari terakhir pertempuran yang membawa kepada kejayaannya di Qadisiyyah. Dalam peperangan ini, Bahman Jadu dan Rostam Farrokhzad terkorban dan inilah bermula titik tolaknya kejatuhan Empayar Parsi Sassanid.

Tentera Islam seramai 36,000 berjaya mengalahkan tentera Parsi seramai 120,000. Anggaran korban kematian di pihak Islam seramai 7,000 orang manakala pihak Parsi pula seramai 70,000 orang.Islam menguasai Iran.

Pada tahun 642 M, tentera Islam berperang dengan tentera Parsi di Nahawand yang diketuai oleh Sa'ad bin Abi Waqas. Peperangan menghancurkan seluruh kerajaan parsi dan menguasai Khurosan pada tahun 644 dan Kisra Yazdegerd melarikan diri, cuba untuk menarik sokongan untuk memerangi kembali orang Islam, bagaimanapun dia dibunuh pada tahun 651 M di Merv(sekarang Turkmenistan) oleh penduduk tempatan pemilk kilang gandum. Anaknya Peroz III dan beberapa yang lain hidup dalam buangan dan mati di Cina.