Wednesday, October 21, 2015

Kerajaan Islam Andalus

Sejarah pemerintahan Islam ke atas Andalusia adalah lebih kurang 7 abad. Satu zaman yang sangat lama, dan ianya boleh dipecahkan kepada 6 tempoh yang penting.

Tempoh Pertama (711 M-755 M)
Selepas Sepanyol dibebaskan oleh Tariq Bin Ziad, Musa Bin Nusair bersama bala tenteranya. Tanah tersebut telah diberi nama Andalusia yang bermaksud ‘tanah bangsa Vandals’. Andalusia diisytiharkan sebagai salah satu wilayah dibawah kekuasaan Kerajaan Bani Umayyah yang berpusat di Damsyik. Sepanjang tempoh ini, Andalusia diperintah oleh beberapa orang gabenor yang dilantik oleh Khalifah Bani Umayyah. Pada tempoh ini, kestabilan politik Andalusia masih belum kukuh lagi. Pelbagai ancaman daripada kuasa luar dan pergolakan dalaman menjejaskan kestabilan politiknya.
Pergolakan dalaman antaranya disebabkan perselisihan faham antara golongan penguasa akibat daripada perbezaan etnik dan bangsa. Disamping itu, berlakunya perbalahan diantara Gabenor Afrika Utara yang berpusat di Qairawan dengan khalifah di Damsyik. Masing-masing mengakui bahawa merekalah yang lebih berhak ke atas tanah Andalusia ini.
Disebabkan itu, hampir 20 kali gabenor Andalusia ditukar dan diganti dalam waktu yang singkat. Perbezaan politik ini juga menyebabkan seringnya berlaku perang saudara. Hal ini disebabkan perbezaan etnik dan bangsa diantara bangsa Barbar di Afrika Utara dan bangsa Arab. Perkara ini sering menimbulkan konflik politik antara satu sama lain. Disebabkan inilah Andalusia pada saat itu tiada gabenor yang mampu mempertahankan kekuasaannya untuk tempoh waktu yang lama.
Gangguan daripada luar pula disebabkan orang-orang Kristian yang tidak mahu tunduk kepada pemerintahan Islam setelah gagal mempertahankan bumi mereka. Kristian di kawasan pedalaman dan pergunungan sentiasa memberi ancaman kepada pemerintahan Islam ketika itu.
Disebabkan konflik dalaman dan luaran ini, Andalusia masih lagi belum melalui zaman pembangunan kebudayaan dan peradabannya. Zaman ini berakhir setelah kedatangan Abdul Rahman Ad-Dakhil.

Tempoh Kedua (755 M-912 M)
Dalam tempoh ini, Andalusia berada dibawah pemerintah yang mengguna gelaran amir iaitu Abdul Rahman Ad-Dakhil. Beliau enggan tunduk kepada pemerintahan pusat kerajaan Islam ketika itu iaitu Kerajaan Bani Abbasiah yang berpusat di Baghdad menjadikan Andalusia adalah sebuah kerajaan Islam yang berdiri sendiri.
Abdul Rahman Ad-Dakhil berketurunan Bani Umayyah yang berjaya melarikan diri daripada dibunuh oleh keluarga Bani Abbas yang telah menjatuhkan Kerajaan Umayyah di Damsyik lalu mendirikan Kerajaan Islam Bani Abbasiah. Bermula dari itu, beliau telah berjaya mendirikan semula Kerajaan Bani Umayyah yang berpusat di Cordoba, Sepanyol. Antara pemerintah-pemerintah pada tempoh masa ini adalah Abdul Rahman Ad-Dakhil, Hisyam 1, Hakim 1, Abdul Rahman Al-Ausath, Muhammad Bin Abdul Rahman dan beberapa nama lagi.
Pada tempoh ini, peradaban dan kemajuan Andalusia mulai bersinar terang. Sekolah-sekolah didirikan pada zaman Abdul Rahman Ad-Dakhil. Pada pemerintahannya juga Masjid Cordoba telah dibina. Ketika itu Masjid Cordoba merupakan masjid kedua terbesar didunia selepas Masjidil Haram. Amir Hisyam 1 pula terkenal dengan jasanya dalam menegakkan hukum Islam manakala Amir Hakam 1 pula telah memperkuatkan dan memperkemaskan bidang ketenteraan Kerajaan Bani Umayyah Andalusia. Amir Abdul Rahman Al-Ausath pula seorang pencinta ilmu. Falsafah berkembang dengan begitu pesat sekali pada zaman ini terutama pada zaman Amir Abdul Rahman Al-Ausath. Beliau telah mengundang dan menjemput ramai para ilmuan Islam datang ke Andalusia sehingga menjadikan bidang keilmuan di Andalusia ketika itu setanding dengan Kerajaan Bani Abbasiah di Baghdad.
Walaubagaimanapun, kerajaan ini tetap tidak terlepas daripada gangguan daripada luar yang cuba menggugat kestabilan politiknya. Pada pertengahan abad ke-9, munculnya gerakan kristian fanatik yang cuba berjuang merampas kembali Andalusia daripada tangan pemerintahan Islam. Namun, gerakan itu tidak mendapat sambutan oleh gereja-gereja kristian di Andalusia kerana mereka lebih menyukai pemerintahan Islam yang memberi kebebasan kepada agama lain Penduduk Kristian juga dibenarkan melaksanakan undang-undang mereka terhadap penganut agama mereka sendiri. Mereka juga tidak dihalang daripada berkhidmat sebagai pegawai kerajaan. Hal ini menyebabkan pemerintahan Islam semakin disenangi oleh penganut agama kristian.
Tempoh Ketiga (912 M-1013M)
Tempoh ini bermula ketika pemerintahan Abdul Rahman III yang juga digelar An-Nasir. Pada tempoh ini, para pemerintah Andalusia telah menggunakan gelaran khalifah. Penggunaan gelaran tersebut adalah disebabkan khalifah Kerajaan Bani Abbasiah ketika itu, Khalifah Al-Muktadir mati akibat dibunuh oleh pengawalnya sendiri. Abdul Rahman III berpendapat bahawa saat inilah merupakan saat yang paling sesuai untuk memakai gelaran khilafah yang telah hilang daripada kekuasaan Bani Umayyah selama lebih 150 tahun. Khalifah-khalifah besar yang memerintah pada tempoh ini ialah Abdul Rahman II, Hakam II dan Hisyam II.
Pada tempoh ini juga, Andalusia mencapai puncak kemajuan dan kejayaan menyaingi Kerajaan Bani Abbasiah di Baghdad. Khalifah Abdul Rahman III telah mendirikan Universiti Cordoba. Perpustakaannya memiliki ratusan ribu buku. Khalifah Hakam II juga seorang pencinta ilmu yang telah mengumpul banyak buku-buku dan karya di perpustakaannya. Pada masa ini, masyarakat Andalusia dapat menikmati kesejahteraan dan kemakmuran yang maksimum. Kota juga semakin pesat membangun.
Fasa awal kejatuhan Kerajaan Bani Umayyah di Andalusia adalah ketika Khalifah Hisyam menaiki takhta dalam usia cukup muda iaitu 11 tahun. Oleh itu, kekuasaan sebenar jatuh ke tangan menteri khalifah. Akhirnya, pada tahun 981 M. khalifah telah memberikan kuasa kepada Ibn Abi Amir menjadikan beliau pemegang kuasa secara mutlak. Khalifah Ibn Abi Amir seorang yang bercita-cita tinggi. Beliau berhasil mengukuhkan kekuasaannya dan melebarkan wilayah dengan menyingkirkan saingan-saingannya. Disebabkan itu, beliau mendapat gelaran Al-Mansur Billah Shah. Khalifah Ibn Abi Amir akhirnya meninggal dunia pada tahun 1002 M dan digantikan oleh anaknya, Al-Muzaffar. Khalifah Al-Muzaffar masih dapat mempertahankan Kerajaan Bani Umayyah daripada pelbagai ancaman dari luar dan dalam. Akan tetapi, setelah beliau mati pada tahun 1008 M, beliau digantikan oleh adiknya yang lemah dan gagal mempertahankan kedaulatan Kerajaan Bani Umayyah. Ketika ini juga iaitu pada tahun 1009 M, pihak kristian memulakan gerakan yang dipanggil Re Conquista yang bertujuan untuk merampas kembali tanah Andalusia daripada kekuasaan muslim. Akhirnya, setelah beberapa tahun Andalusia dilanda kekacauan dan masalah, pada tahun 1009 M, khalifah mengundurkan diri. Pada tahun 1031 M, Dewan Menteri akhirnya menghapuskan jabatan khalifah dan berakhirlah pemerintahan Kerajaan Bani Umayyah di Andalusia.
Tempoh Keempat (1013 M-1086M)
Tempoh masa ini dikenali sebagai Al-Muluk At-Tawaif yang bermaksud kerajan-kerajan bersendiri. Andalusia telah berpecah kepada 30 negara kecil yang berpusat di pelbagai kota seperti Cordoba, Sevilla, Toledo dan lain-lain lagi. Pada ketika ini, umat Islam di Andalusia mengalami pertikaian yang sengit antara satu sama lain untuk menjadi penguasa tunggal di bumi tersebut. Peperangan sering berlaku antara satu sama lain sehingga ada pemerintah yang meminta bantuan kristian demi pangkat dan harta. Kelemahan dan kekacauan yang berlaku menyebabkan orang-orang kristian mengambil peluang dan menguatkan bala tenteranya dan menyerang kerajaan-kerajaan yang lemah. Persaingan bukan setakat merebut wilayah kekuasaan. Malah, persaingan intelektual turut berlaku antara satu sama lain. Hal ini menjadikan keilmuan terus berkembang pada zaman ini walaupun dalam keadaan politik yang tidak stabil.

Tempoh Kelima (1086 M-1248M)
Meskipun Andalusia masih berpecah dalam beberapa kerajaan, tetapi terdapat satu kerajaan yang besar dan kuat serta menguasai sebahagian besar wilayah Andalusia iaitu Kerajaan Murabbitun (1086 M-1145 M) dan Kerajaan Muwahhidun (1146 M-1235 M). Kerajaan Murabbitun pada asalnya sebuah gerakan agama yang dipimpin oleh Yusuf Ibn Tashfin di Afrika Utara. Pada tahun 1062 M, sebuah kerajaan didirikan yang berpusat di Morocco. Kerajaan ini mula menawan Andalusia disebabkan undangan penguasa-penguasa Islam disana yang mulai tertekan akibat serangan demi serangan yang perlu dihadapi daripada pihak kristian.
Yusuf Ibn Tashfin memasuki Andalusia pada 1086 M setelah dijemput oleh seorang putera kerajaan islam ketika itu untuk mempertahankan mereka daripada serangan Alfonso VI, raja kerajaan Leon dan Castilia. Dalam peperangan yang bernama Perang Az-Zallaqah itu, tentera pimpinan Yusuf Ibn Tashfin telah mencapai kemenangan. Bertitik tolak daripada peperangan tersebut, Yusuf Ibn Tashfin terus meluaskan wilayahnya di Andalusia dan akhirnya, Andalusia menjadi sebahagian daripada wilayah Kerajaan Murabbitun. Kerajaan Murabbitun telah mengiktiraf kekhilafahan Kerajaan Bani Abbasiah yang berpusat di Baghdad menjadikan Andalusia sebagai salah sebuah wilayah Islam dibawah Khilafah Bani Abbasiah. Namun, pengganti pemerintahan Kerajaan Murabbitun selepas Yusuf Ibn Tashfin adalah pemerintah yang lemah. Akibatnya, Zaragoza telah jatuh ke tangan kristian pada tahun 1118 M. 1143 M, kekuasaan kerajaan ini berakhir dan digantikan dengan Kerajaan Muwahhidun yang juga berpusat di Afrika Utara. Kerajaan ini diasaskan oleh Muhammad Ibn Tumart pada tahun 1121 M yang berpusat di Morocco.
Pada tahun 1146 M, pemerintah Kerajaan Muwahiddun kembali merebut tanah Andalusia daripada penguasaan Kerajaan Murabbitun yang semakin lemah. Kerajaan ini cuba menawan Andalusia ketika berada dibawah pemerintaha Sultan Abdul Mu’min. Antara tahun 1114 M dan 1154 M, banyak kota-kota penting umat Islam dapat dibebaskan oleh kerajaan ini seperti Cordoba, Almeria dan Granada. Dan pada tahun 1170 M, Kerajaan Muwahhidun telah menjadikan Seville sebagai pusat pemerintahan mereka. Untuk tempoh beberapa dekad, kerajaan ini mengalami kemajuan yang pesat. Tentera kristian dapat dikalahkan dan pemberontakan dan dihapuskan. Namun, seperti mana kerajaan-kerajaan yang lain, kerajaan ini turut mengalami tempoh kemunduran mereka. Pada tahun 1212 M ketika dibawah pemerintahan Sultan Muhammad III Al- Nasir, tentera islam telah mengalami kekalahan teruk dalam Peperangan Las Navas De Tolosa di Sierra. Dalam peperangan tersebut, 4 putera kerajaan kristian iaitu Kerajaan Castilia, Aragorn, Portugal dan Navarre telah bersatu untuk memerangi dan menjatuhkan Kerajaan Muwahhidun. Kekalahan tersebut sekaligus menghancurkan dominasi Kerajaan Muwahhidun di Andalusia. Akhirnya, pada tahun 1224 M, setelah kematian Sultan Abu Yaakub Yusuf II, Kerajaan Muwahhidun mulai mengalami kemerosotan yang teruk.
Kekalahan demi kekalahan yang dialami oleh Kerajaan Muwahiddun di Andalusia menyebabkan pemerintahnya mengambil keputusan meninggalkan bumi Andalusia dan kembali ke Afrika Utara pada tahun 1235 M. Andalusia kembali berpecah kepada beberapa kerajaan-kerajaan kecil yang lemah. Dalam keadaan sedemikian, umat Islam tidak mampu bertahan daripada serangan demi serangan yang dilancarkan oleh kristian melalui kempen Re Conquista. Tahun 1236 M, Cordoba akhirnya jatuh ke tangan tentera kristian. Kejatuhan Cordoba bagaikan satu kejutan untuk umat Islam kerana kota mereka yang terbesar dan terkuat sudah hilang akibat kelemahan mereka. 1248 M pula, tentera kristian berjaya menawan Sevilla menyebabkan hampir seluruh Andalusia berjaya ditawan oleh kristian kecuali wilayah Granada yang merupakan wilayah terakhir yang masih dibawah pemerintahan muslim.

Tempoh Keenam (1248 M-1492 M)
Umat Islam pada ketika ini hanya berkuasa di wilayah Granada sahaja. Kerajaan Nasrid telah menerajui pemerintahan di Granada yang diasaskan oleh Muhammad Bin Yusuf atau lebih dikenali sebagai Ibn Al-Ahmar. Beliau terkenal kerana kelicikan beliau berpolitik dan berpidato. Ketika penguasa-penguasa Islam yang lain sudah mati. Ibn Al-Ahmar adalah satu-satunya pemimpin Islam di Andalusia yang masih berkuasa dan mendapat sokongan daripada rakyat.
Oleh itu, Raja Ferdinand III, iaitu raja kristian ketika itu telah bertindak dan menyerang kubu-kubu tentera Islam. Kecekalan dan kesungguhan tentera kristian untuk menghapuskan Ibn Al-Ahmar telah merunsingkan beliau, apatah lagi ketika itu tentera kristian sudah berjaya mengepung Kota Granada. Akhirnya, Ibn Al-Ahmar telah mengambil tindakan dengan memeteraikan perjanjian dengan Raja Ferdinand III yang dinamakan Perjanjian Jaen pada tahun 1246 M. Dalam perjanjian tersebut Ibn Al-Ahmar telah bersetuju member bantuan ketenteraan dan membayar ufti kepada Ferdinand III sebanyak 150 000 maravedis. Ibn Al-Ahmar juga bersetuju menyerahkan Jaen, Arjona, Porcuna, Priego, Higuera dan La Frontera kepada pihak kristian dan meninggalkan wilayah Granada untuk berada dibawah kekuasaannya. Pada saat inilah bermula pemerintahan Kerajaan Nasrid yang berpusat di Granada. Kerajaan ini telah diperintah oleh 22 orang sultan.
Kerajaan ini dikenali kerana pada zaman inilah Istana Al-Hambra telah dibina. Kemerosotan Kerajaan Nasrid bermula setelah kematian Sultan Muhammad V pada 16 Januari 1391 M. Pengganti-penggantinya terdiri daripada sultan-sultan yang lemah yang gagal mempertahankan kedaulatan kerajaan. Ketika itu Kerajaan Nasrid mengalami masalah dalaman yang serius akibat perebutan takhta dikalangan kerabat pemerintah.

Kekuasaan Islam yang merupakan pertahanan terakhir di Granada,Sepanyol ini berakhir karena perselisihan orang-orang istana dalam memperebutkan kekuasaan. Abu Abdullah Muhammad merasa tidak senang kepada ayahnya karena menunjuk anaknya yang lain sebagai penggantinya menjadi raja. Dia memberontak dan berusaha merampas kekuasaan. Dalam pemberontakan itu, ayahnya terbunuh dan digantikan oleh Muhammad ibn Sa’ad(MIS). Abu Abdullah(AAM) kemudian meminta bantuan kepada Ferdinand V dan Isabella untuk menjatuhkannya.
Perkahwinan Raja Ferdinand V dan Isabella memberi impak yang cukup besar kepada penganut agama kristian kerana sekaligus menyatukan kesemua orang-orang Kristian ketika itu. Dua penguasa Kristian ini dapat mengalahkan penguasa Nasarid yang sah dan Abu Abdullah naik tahta. Ferdinand V dan Isabella mash tidak cukup merasa puas. Keduanya ingin merebut kekuasaan terakhir umat Islam di Granada,Sepanyol. 

Raja Ferdinand V telah melancarkan serangan ke atas Granada. Pemerintah Kerajaan Nasrid yang terakhir ketika itu, Sultan Abu Abdullah tidak mampu lagi menahan serangan-serangan tentera Kristian dan akhirnya beliau mengaku kalah. 1492 M, Sultan Abu Abdullah telah menyerahkan wilayah Granada kepada Raja Ferdinand V dan kemudian berhijrah ke Afrika Utara. Penyerahan wilayah Granada menandakan berakhirnya penguasaan umat Islam ke atas tanah Andalusia dan satu kejayaan besar kepada gerakan Re Conquista. 

Umat Islam setelah itu dihadapkan kepada dua pilihan, masuk Kristian atau keluar dari Sepanyol. Umat Islam pun terusir dengan pedihnya dari bumi Andalusia. Hanya yang mau meninggalkan Islam (murtad) yang boleh tinggal. Yang tetap beriman kepada Allah bersama Abu Abdullah di persilahkan naik ke kapal dan berlayar menuju Afrika Utara menyeberangi Selat Gibraltar. Tanggal 2 Januari 1492 itu tercatat sebagai pemurtadan besar-besaran yang pernah terjadi dalam sejarah. Baik Cordoba maupun Granada hancur lebur bersama kitab-kitabnya yang dibakar . Namun Istana Alhambra tidak dihancurkan oleh orang Kristian, mungkin kerana tidak sanggup. Alhambra merupakan peninggalan terhebat menunjukkan kegemilangan pemerintahan Islam di Sepanyol. 

Antara Usaha Pemerintah Katolik Andalusia ketika itu bagi menghapuskan Islam dari bumi Andalusia:- 

  • Umat Islam disuruh Murtad atau meninggalkan Kota Granada 
  • Bagi yang menaiki Kapal untuk kembali ke Afrika Utara,Kapal mereka dibakar bersama-sama mereka dan dibiarkan rentung. 
  • Tubuhnya The Spanish Inquisition(1482-1834), Institusi pengadilan gereja yang didirikan oleh Raja Ferdinand dan Isabella, yang bertujuan untuk memelihara ortodoksi Katolik di Sepanyol 
  • Umat Islam yang enggan murtad dibunuh,diseksa dan dibakar mengunakan teknik Garruca(mengikat kedua-dua tangan atau diletakkan pemberat dikedua2 tangan,di tonggang terbalik dengan kaki diikat dengan tali pada ceiling, berkali2 sehingga ke tahap boleh tercabut kaki dan tangan mereka),Toraca(disumbat kain didalam mulut,kemudian paksa minum air banyak2 dari sebuah jar sehingga mereka rasa seperti sedang tenggelam) dan Potro(penyeksaan menggunakan rak yang mempunyai batang besi yang hujungnya tajam seperti pisau dan orang islam itu dibaringkan di atas rak itu sehingga dagingnya ditembus besi2 tajam itu…Kejam sungguh,tidak layak digelar manusia…) 
  • Mengikut buku Sejarah Nusantara,anak2 perempuan dan isteri2 umat Islam dirogol dihadapan suami dan abang mereka…Astagfirullah 
  • Diadakan larangan penggunaan nama Islam, pakaian Islam, serta larangan berbahasa Arab. 
  • Disebabkan takut Orang2 Islam Murtad pada nama sahaja tapi masih beramal secara sembunyi,orang islam yang Murtad itu di suruh pakai baju khusus yang melambangkan mereka pernah Islam dan di pindahkan ke satu kawasan kediaman yang terpencil agar boleh diserang bila-bila. 
  • Bahkan orang-orang Islam yang murtad ini diberitahu anak-anak mereka nantinya harus diserahkan untuk dididik para pendeta Kristian.Di situ anak-anak orang Islam ini di brain wash dan dijadikan pakatan tentera untuk menyerang Umat Islam sendiri.(Sehingga suatu hari anak-anak ini sudah tidak kenal ibubapa nya dan mungkin menembak mereka dengan tangan sendiri) 

Sehingga Pada tahun 1609 M, boleh dikatakan tidak ada lagi umat Islam di bumi andalus. 
Andalusia...tinggallah kenangan yang memilukan untuk dikenang~


"Apabila engkau gagal mempertahankan negaramu, sedangkan dahulu kau adalah seorang tentera yang gagah dan berani. Kini, apa gunanya engkau menangis seperti seorang wanita?”
Ungkapan yang cukup bersejarah! Diungkapkan oleh ibu kepada Sultan Abu Abdullah, pemerintah Islam terakhir di Andalusia yang menangis teresak-esak sambil memandang penuh kesayuan keindahan Istana Al-Hambra dari jauh yang kini hanya tinggal kenangan. Sultan Abu Abdullah dan ahli keluarganya ketika itu dalam perjalanan melarikan diri ke Afrika Utara setelah gagal mempertahankan kerajaan mereka di Granada. Disaat itu juga kegemilangan Islam di Andalusia rebah dan beberapa ketika lagi, majlis perarakan pasangan Raja Ferdinand V dan Isabella untuk memasuki Istana Al-Hambra akan dilangsungkan.
Saat kegemilangan Andalusia dibawah pemerintahan Islam sudah tiada. Kini hanya tinggal sejarah! Sejarah untuk dikenang, sejarah untuk dijadikan pengajaran dan sejarah yang hanya tinggal sejarah. Ramai yang tidak mengetahui betapa Andalusia dahulu begitu istimewa dan begitu unik. Berjaya mencipta kegemilangan yang menakjubkan. Dikala Eropah dilanda Zaman Gelap tetapi Andalusia terus bersinar dengan kemajuan dan kegemilangan yang dibawa oleh Islam. Sehinggakan ada sejarawan mengatakan bahawa Andalusialah yang telah mencetuskan Zaman Renaissance di Eropah. Jika tidak kerana Andalusia, nescaya eropah akan terus berada di Zaman Kegelapan.
Namun kini, hanya tangisan yang bergema bila mengenangkan Andalusia. Bilakah ianya akan kembali ke tangan Islam??? Hanya Allah yang mengetahui namun dengan kekuasaan-Nya, tiada yang mustahil!.