Sekitar tahun 150 Masehi,di Alexandria,Mesir…seorang ahli katografi,ahli astronomi,ahli astrologi dan matematik yang bernama Claudius Ptolemy telah mencatatkan sesuatu di dalam karyanya,Geōgraphikḕ Hyphḗgēsis ketika pentadbiran Lucius Munacius Felix.
Perkataan tersebut adalah Μαλεου Κώλον yang bermaksud ‘bahagian dari Malayu’.
Claudius Ptolemy adalah penduduk Mesir,tepatnya di Alexandria (Iskandariah) ketika pemerintahan Rom.Beliau adalah seorang ahli katografi,ahli astronomi,ahli astrologi dan matematik yang telah mengeluarkan karya-karya seperti Mathēmatikē Syntaxis (almagest) dalam bidang astronomi,Geōgraphikḕ Hyphḗgēsis dalam bidang kartografi dan geografi danApotelesmatika dalam bidang astrologi.
Apa yang ingin difokuskan di sini adalah karyanya Geōgraphikḕ Hyphḗgēsis yang memiliki misteri tersembunyi sekaligus menjelaskan bukti yang ampuh tentang kewujudan nama ‘Melayu’ dalam peta-peta purba zaman Greco-Roman.
Sebelum ini kita tahu bahawa di dalam Vayu Purana,iaitu kitab yang mengandungi 24,000 puisi (hyms) kepada dewa Vayu yang ditulis sekitar tahun 350 Masehi kononnya ada menyebut tentang ‘Malayadvipa’ yang kaya dengan emas.Jika benar sumber ini merujuk kepada Kepulauan Melayu,maka sumber dari Ptolemy adalah lebih tua dari sumber India ini.
Hipotesis lapuk,mengatakan kononnya nama ‘Melayu’ adalah berasal dari kata Sanskrit ‘Malaya’ yang bermaksud ‘gunung’.Namun,bagaimana Ptolemy tidak menulis sebagai ‘Malaya’ namun jelas sebagai ‘Malayu’?
Saya akan tunjukkan dengan lebih terperinci bahagian yang misteri ini.
.
.
‘Maleu-kolon’
.
Jika anda melihat peta Ptolemy dalam Geōgraphikḕ Hyphḗgēsis pada bahagian Asia Tenggara,cuba perhatikan pada tanjung yang tertulis Aurea Chersonese.Kemudian pergi ke hujung tanjung itu dan anda akan menjumpai perkataan ‘Meleu-kolon’ yang diterjemah dari teks asal ‘Μαλεου Κώλον’ dalam tulisan Greek Purba.
Perkataan Μαλεου jika diterjemah secara harafiah adalah menjadi ‘Malayu’ dan ini diakui oleh G.E Gerini,yang telah mengkaji peta-peta Ptolemy sekitar Asia Tenggara,dengan menterjemah perkataan ‘Μαλεου Κώλον’ sebagai ‘Malayu-Kulon’.Namun Gerini membuat kesilapan yang memalukan apabila mendakwa perkataan kedua,yakni ‘Kolon’ sebagai berasal dari kata Sanskrit ‘kurram’ atau ‘kolam’ dan tidak semena-mena menukar kata ‘Malayu’ tadi menjadi ‘Malaya’ apabila menggabungkan kedua perkataan menjadi ‘Malayakurram’ atau ‘Malayakolam’.Kemudian beliau menambahkan kekeliruan apabila mendakwa ia adalah merujuk kepada sebuah tempat di utara pantai semenanjung Malaysia yang bernama Tanjung Kuantan.Anda tidak akan menemui tempat bernama Tanjung Kuantan di Kedah,Kelantan atau Perlis.Kuantan sendiri,katakan beliau merujuk kepadanya,adalah ibunegeri Pahang kini,sebuah tempat di sebelah pantai timur dan ia bukan sebuah tanjung.Pendapat ini menunjukkan hipotesis Gerini menjadi tidak konsisten,merepek-repek dan aneh.
Sebenarnya,perkataan Κώλον memang terdapat dalam kosakata Greek Purba dan muncul dalam dialek Greek Purba yang disebut Attic Greek seawal 500 tahun sebelum Masehi.Kemudian ia muncul dalam teks-teks era abad pertama Masehi pada zaman pendudukan Rom di Mesir Purba,ketika era Cleopatra,Octavian dan era Aegyptus.Kemudian muncul sekitar abad ke-4 dalam dialek Koine Greek terutama sekitar Alexandria.
Kemudian tercatat pada abad ke-10 Masehi dalam bahasa yang digunakan ketika era Byzantin dan seterusnya di Constatinople pada abad ke-15.
.
.
Apakah Makna Κώλον?
.
.
Etimologi untuk Κώλον atau Kolon adalah variasi dari maksud induknya iaitu ‘bahagian dari’.Ia digunakan seperti bahagian dari tubuh badan (jantung,usus,limpa) atau organisasi (ahli) atau bangunan (dinding,tingkap).Malah,dari perkataan colon yakni usus besar dalam Bahasa Inggeris berasal dari perkataan Κώλον ini yang membawa maksud ‘sebahagian dari anggota badan’ dalam kes ini adalah organ usus besar.
Dalam kes Μαλεου Κώλον pula,ia menjadi ‘Malayu-kolon’ yang membawa erti ‘bahagian dari Malayu’.Dalam konteks geografi,ia membawa maksud sebagai ‘Tanah Malayu’,’Semenanjung Malayu’ atau ‘wilayah Malayu’.
.
.
Bagaimana dengan Aurea Chesonese?
.
.
Aurea Chesonese lebih merujuk kepada selatan Indochina atau Lower Indochina,Segenting Kra dan semenanjung Malaysia.Ini terbukti apabila legenda Suvarnabhumi dikongsi oleh tradisi Mon,Thai,Burma dan Melayu.Namun untuk semenanjung Malaysia,Ptolemy jelas mencatatkan sebagai Malayu-kolon atau ‘bahagian dari Malayu’ di hujung Aurea Chersonese itu.
.
.
Bonus: Senarai nama-nama tempat di Asia Tenggara mengikut peta Ptolemy (Sebahagian nama tempat di semenanjung Malaysia dan Indochina adalah begitu mengejutkan!)
————————————————————————————————-
Para pembaca Inner Circle sila AKSES DI SINI
————————————————————————————————-
.
.
.
KESIMPULAN
.
.
Ptolemy tidak menggunakan perkataan ‘Malaya’ bermakna ia bukan dari Sanskrit.Ptolemy jelas mencatatkan sebagai ‘Malayu’ dan ia memang nama purba orang-orang Melayu (‘Melayu’ adalah slang era Kesultanan Melaka dan Johor-Riau) sebagamana tercatat dalam sumber-sumber Khmer seperti di dalam Prasasti Hanchey yang diukir pada abad ke-6 Masehi di Kemboja.Ini menunjukkan ‘Malayu’ merupakan perkataan tersendiri dan bukan dari mana-mana.Malah,kemungkinan besar sumber Sanskrit dipengaruhi sumber-sumber awal yang berpunca dari nama ‘Malayu’ dengan pentarikhan Vayu Purana yang lewat 200 tahun selepas peta-peta Ptolemy itu.
Definisi ‘Κώλον’ pula menunjukkan peta-peta Greaco-Roman mengesahkan kewujudan Tanah Melayu pada masa silam,merujuk kepada semenanjung Malaysia.
Jika pada tahun 150 Masehi telah ada catatan tentang ‘Tanah Melayu’ atau ‘wilayah Melayu’ maka sudah tentu entiti bernama Melayu telah wujud lebih lama sebelum Geōgraphikḕ Hyphḗgēsis dikarang.Ptolemy juga sebenarnya merakamkan kartografinya di dalam Geōgraphikḕ Hyphḗgēsis berdasarkan peta-peta purba yang lebih lama wujud,juga dari sumber-sumber pelayaran dan ahli kartografi yang lain.Seperkara yang menarik,di dalam karyanya Ptolemy itu juga mencatatkan ‘jung’ (tanjung) seperti ‘Jung Salang’ (Junkceylon) yang bermaksud ‘Tanjung Salang’ yang kemudiannya menjadi ‘Bukit’ dan kini disebut Phuket oleh orang Thai,dimana ia menjadi sebahagian dari Thailand pada hari ini.
Ini menunjukkan,para pelayar yang mencatatkan nama-nama tempat itu berkomunikasi dengan penduduk tempatan yang sudah pasti orang-orang Melayu yang berbahasa Melayu dan mereka juga yang menegaskan kepada para pelayar itu bahawa tanah semenanjung yang diduduki oleh mereka itu adalah ‘tanah orang-orang Melayu’ atau Malayu-kolon (Μαλεου Κώλον).
Selain dari bukti mtDNA,kewujudan orang-orang Melayu dan tanahair mereka juga dapat dibuktikan melalui sejarah kartografi.Usaha pihak-pihak tertentu untuk bermatian membuktikan orang Melayu sebagai pendatang sebenarnya berpijak kepada tahyul dan tidak saintifik.Adalah lebih mudah untuk mencari tarikh kedatangan para pendatang dari membuktikan pribumi (indigenous/native) itu sebagai sebagai pendatang,semata-mata untuk merampas tanahair mereka.
sumber : http://historianlodge.historiansecret.com
sumber : http://historianlodge.historiansecret.com