Kemaraan Tatar ke Negara Islam (617 H dan 628 H)
Serangan Tatar ke atas umat Islam di bawah pimpinan kerajaan Abbasiah sebenarnya tidak berlaku hanya pada tahun 656 H di dalam peristiwa kejatuhan Baghdad. Sebaliknya sebelum itu sudah pun ada dua siri serangan Tatar iaitu pada tahun 617 H dan 628 H.
Serangan Tatar ke atas umat Islam di bawah pimpinan kerajaan Abbasiah sebenarnya tidak berlaku hanya pada tahun 656 H di dalam peristiwa kejatuhan Baghdad. Sebaliknya sebelum itu sudah pun ada dua siri serangan Tatar iaitu pada tahun 617 H dan 628 H.
Serangan pertama Tatar ke atas umat Islam berlaku pada tahun 617 H – 620 H di bawah pimpinan Genghis Khan. Serangan kali pertama ini mempunyai sebabnya yang diperselisihkan oleh ahli sejarah Islam. Apa pun puncanya, Dr. Raghib as-Sarjani lebih cenderung untuk mengatakan bahawa niat untuk menjatuhkan kerajaan Abbasiah memang telah wujud di dalam hati Genghis Khan sejak sekian lama.
Oleh kerana jarak yang jauh dari bumi China ke bumi Iraq, Genghis Khan menumpukan serangan pertamanya pada kali ini ke atas bumi Afghanistan dan Uzbekistan. Bumi ini dipilih kerana ia mempunyai sumber asli yang banyak dan amat sesuai untuk dijadikan pengkalan tentera Tatar untuk siri-siri serangan yang seterusnya.
Serangan pertama ini berjaya. Tatar berjaya bertapak di bumi tersebut dan bumi sekitarnya (Turkimenistan, Kazakhastan, Tajikistan, Pakistan dan sebahagian dari Iran). Kesemua negara-negara ini dahulunya dikenali sebagai Daulah Khawarizmiah. Hasil dari kejayaan ini, pemerintahan Tatar mula kukuh di kawasan tersebut. Mereka mempunyai pengkalan dan pusat pentadbiran mereka di tengah-tengah kerajaan Islam.
Serangan kedua Tatar ke atas umat Islam pula berlaku pada tahun 628 H. Pada tahun 624 H, Genghis Khan telah digantikan oleh seorang lagi raja Tatar yang tidak kurang bengisnya iaitu Okitai. Kerajaan Tatardi Mongolia dan China pada masa itu berada dalam keadaan stabil dan kuat. Keadaan ini memberikan banyak kelebihan kepada Okitai.
Lalu bermulalah serangan kedua Tatar ke atas umat Islam sebagai menyambung serangan yang pertama di zaman Genghis Khan. Serangan pada kali ini ditumpukan di sekitar bumi Rusia dan Eropah. Okitai melantik panglima perangnya, Syurmajan untuk mengepalai serangan pada kali ini.
Suasana bertambah buruk pada serangan kedua ini kerana pimpinan Islam pada masa itu berada dalam keadaan berpecah belah. Manakala sebahagian umat pula telah mula menunjukkan sikap pengecutnya dan tidak berani untuk melancarkan jihad. Ibnu al-Athir di dalam kitabnya al-Kamil meriwayatkan beberapa cerita yang didengarinya daripada sebahagian umat Islam yang berjaya melepaskan diri dari serangan kedua ini.
Di antaranya:
Di antaranya:
- Seorang tentera Tatar masuk ke dalam sebuah perkampungan seorang diri. Kemudian dia membunuh penduduk kampung tersebut seorang demi seorang tanpa mendapat tentangan dari sesiapa pun.
- Seorang tentera Tatar menangkap seorang muslim. Oleh kerana tentera Tatar tersebut tidak bersenjata, dia telah mengarahkan pemuda muslim tadi agar melekapkan mukanya ke tanah dan tidak bergerak. Tentera Tatar tersebut pulang mengambil senjata dan kemudian datang kembali lalu membunuh pemuda tersebut.
- Tentera Tatar memasuki bandar Badlis (sekarang berada di selatan Turki). Laluan ke bandar tersebut adalah laluan di celah-celah bukit yang sungguh sempit. Tidak ada seorang pun tentera Islam yang berjaya melepaskan diri dari serangan Tatar di bandar tersebut. Penduduk bandar tersebut pula melarikan diri ke atas bukit dan membiarkan Tatar membakar keseluruhan bandar tersebut.
Serangan Ketiga (656 H) dan Kejatuhan Baghdad
Kerajaan Tatar pada masa ini dipecahkan kepada tiga wilayah utama. Sebahagian ahli sejarah menamakannya ‘segitiga emas’. Raja Tatar pada masa ini adalah Manku Khan, seorang lagi Raja Tatar yang berjiwa keras dan mempunyai keazaman yang kuat. Beliau mentadbir ibu negara kerajaan Tatar, Qaraquram dengan dibantu oleh adiknya Ariq Bufa. Seorang lagi adiknya iaitu Qublai pula mentadbir jajahan Tatar di sebelah Timur (meliputi China, Korea dan bumi sekitarnya). Manakala jajahan Tatar di sebelah Iran dan bumi sekitarnya diserahkan kepada adiknya Holago, nama yang tidak asing bagi umat Islam.
Manku Khan ingin meneruskan misi Tatar yang seterusnya iaitu menjatuhkan kota Baghdad dan menyerang bumi Syam (Palestin, Syria, Jordan dan Lubnan) dan Mesir. Tugas ini telah disandarkan kepada Holago, pahlawan Tatar yang mabukkan darah manusia dan dianggap sebagai jelmaan Genghis Khan. Dr. Raghib Sarjani menganggapnya sebagai manusia paling ganas sepanjang sejarah dunia. Kejahatannya itu makin bertambah setelah beliau berkahwin dengan Taqazkhatun, permaisuri Mongolia beragama Kristian yang amat membenci umat Islam.
Oleh kerana Baghdad adalah ibu negara kerajaan Islam Abbasiah, persiapan yang dilakukan oleh Holago dalam serangan ini agak teliti dan kemas. Tentera Tatar telah dipecahkan kepada tiga kumpulan dan datang dari tiga arah yang berlainan.
- Pasukan pertama dipimpin oleh Holago sendiri. Ia dibantu oleh tentera elit Tatar dibawah pimpinan Bato. Misi pasukan pertama ini adalah mengepung bahagian timur kota Baghdad.
- Pasukan kedua dipimpin oleh Katabgha, pahlawan Holago yang terbaik. Tugas pasukan ini adalah mengepung bahagian tenggara kota Baghdad. Katabgha jugalah yang memimpin tentera Tatar menentang Qutuz di dalam peperangan Ain Jalut.
- Pasukan ketiga pula dipimpin oleh Bigo. Pasukan ketiga ini adalah tentera yang menjaga sempadan Anadol (sekarang di Turki). Tugas pasukan ini adalah untuk mendatangi Baghdad dari arah utara dan seterusnya mengepung bahagian barat kota Baghdad.
Ketelitian perancangan Holago boleh dilihat dari beberapa sudut:
- Pasukan pertama dan kedua datang dari jarak 450 kilometer sebelum kota Baghdad. Walau pun begitu Holago berjaya mengaburi mata kerajaan Abbasiah sehinggakan tentera kerajaan Abbasiah hanya mengetahui kedatangan tentera itu ketika mereka hanya beberapa kilometer dari kota Baghdad.
- Pasukan ketiga pula datang dari jarak 1,000 kilometer sebelum kota Baghdad. Tetapi pasukan ini berjaya sampai tepat pada masa yang dijanjikan untuk bergabung dengan kedua-dua pasukan yang lain.
- Pasukan ketiga terpaksa merentasi 1,000 km perjalanan di bumi Turki dan Iraq (kedua-duanya adalah bumi Islam). Perjalanan ini akan merentasi perkampungan Islam dan kemungkinan terpaksa berhadapan dengan pertempuran awal. Amat menakjubkan apabila mereka berjaya berjalan tanpa disedari oleh orang Islam kecuali setelah mereka berada pada jarak 50 km dari kota Baghdad di sebelah Barat Daya. Kejayaan ini setelah mereka berjaya merasuah Gabenor Anadol, Qalaj Arsalan dan Gabenor Mosul, Badruddin Lu’lu’ sehingga kedua-duanya bertindak mengkhianati umat Islam.
- Berlakulah peperangan. Jatuhlah kota Baghdad dengan segala cerita duka di dalamnya. Menurut Abul Hasan Ali an-Nadwi, umat Islam yang terbunuh di dalam peristiwa kejatuhan Baghdad tersebut adalah 1,800,000 orang. Satu angka yang cukup menakutkan sesiapa sahaja yang cuba membayangkannya. Darah mengalir di jalanan. Buku-buku dicampak ke dalam sungai dan semua itu dianggarkan berjumlah sebanyak dua juta naskhah buku. Ahli sejarah menganggap itu sebagai punca kemunduran umat Islam selepas itu. Semua itu berlaku dalam masa 40 hari.
Kejatuhan Syam
Kejatuhan Baghdad bukan kemuncak bagi penderitaan umat pada ketika itu. Sebaliknya umat semakin menderita dengan sikap sebahagian raja dan ulama’ Islam pada masa itu yang sanggup menggadaikan agama semata-mata untuk mendapat jaminan kehidupan dari Tatar.
Siapakah yang tidak sayu bila melihat sebahagian raja Islam menghulurkan tangan persahabatan dengan Holago sedangkan darah jutaan umat Islam masih lagi belum kering? Raja Mosul, Badruddin Lu’lu’ menghulurkan tangan persahabatan dengan Holago. Begitu juga Kaikawis II dan Qalaj Arsalan, Raja Anadol. Raja Halab dan Damsyik, al-Nasir Yusof juga mengambil langkah sama. Raja-raja itu telah membuka Iraq Utara, sebahagian Syam dan Turki kepada Tatar tanpa peperangan. Tidak cukup setakat itu. Tanggungan umat semakin berat apabila menyaksikan sebahagian ulama’ pada masa itu mengeluarkan fatwa mengharuskan perjanjian damai tersebut dengan hujah-hujah yang amat mengelirukan.
Hanya seorang Raja di daerah tersebut yang mengiklankan jihad. Raja tersebut adalah Al-Kamil Muhammad al-Ayubi, Raja Miyafarqin. Miyafarqin adalah bandar yang terletak sekarang ini timur Turki menuju ke sebelah barat Turki. Tentera Raja Al-Kamil Muhammad al-Ayubi menguasai timur Turki, barat laut Iraq dan timur laut Syria.
Tetapi kegilaan Tatar mengatasi segala-galanya. Bandar Miyafarqin dikepung dan akhirnya jatuh. Begitu juga dengan bandar Halab. Bandar Damsyik juga jatuh. Kemuncaknya adalah penjajahan Tatar ke atas bumi Palestin.