Bangsa Turki yang dikenali sebagai Othmani berasal dari bangsa Qayi, salah satu cabang dari rumpun bangsa Turki Ghazu yang tinggal di wilayah Turkistan. Pada kurun ke 13M tentera Mongol di bawah pimpinan Gengkhiz Khan dari Mongolia menyerang dan menakluk negeri Turkistan dan Banjaran Iran. Bangsa Turki termasuk Qayi berpindah dan dipimpin oleh Sulaiman Syah yang bergabung dengan Jalaluddin Minkabarti, anak Khawarazmi Syah.
Apabila Jalaluddin tewas berdepan dengan Mongol, Sulaiman Syah membawa kaumnya menyelamatkan diri ke negeri Turkistan, seterusnya ke Azerbaijan di sempadan timur Asia Minor. Di situlah mereka menetap memandangkan sumber air yang banyak dan ladang ternak yang luas terbentang walaupun agak berbukit. Dalam tempoh yang singkat bangsa ini membiak dan bertambah dari bilangan ratusan menjadi ribuan.
Apabila bahaya Mongol mula reda, Sulaiman Syah cuba masuk ke negeri Syam, malangnya beliau mati lemas di sebatang sungai berhampiran bandar Halab lalu pimpinannya diganti oleh anaknya Urkhan. Urkhan membawa kaumnya ke Asia Minor mencari tempat yang sesuai kepada mereka yang semakin berkembang, lalu beliau masuk negeri Saljuk Rom yang diperintah oleh Sultan Alauddin bin Kaiqabaz. Negeri itu berpusat di Konya di tengah dataran ini dan amat luas.
Peperangan antara Saljuk Rom dan Byzantine selalu terjadi dan amat sengit. Urkhan dan penggantinya Urtoghal menjadi pembantu Sultan melawan kuasa kafir ini.
Anak Urtoghal bernama Othman seorang pejuang berkuda yang tangkas berperang. Beliau dapat menguasai dua kubu Byzantine yang kuat iaitu Qarjahisar dan Eskisehir, di samping kawasan sekitar di tengah Asia Minor. Sultan Alauddin III mengangkatnya secara rasmi sebagai Amir dengan anugerah bendera putih dan gendang perang.Othman memimpin askar Turki membuka bumi Byzantine hingga ke Laut Hitam.
Apabila Moghol mengulangi serangan ke atas Asia Minor pada 699 H bersamaan 1299M diketuai oleh Ghazan Khan, Sultan Alauddin III merasa takut lalu meminta bantuan Kaisar Rom. Namun Kaisar itu mengambil peluang untuk membunuhnya. Berikutan itu, Othman mewarisi Kerajaan Saljuk Rom dan bertanggung jawab melancarkan jihad menentang Byzantine. Beliau dapat mengasak tentera Rom hingga ke barat Asia Minor. Di situ beliau mendirikan kediaman baru bersama askarnya sebagai benteng negara berdepan dengan musuh.
Seorang sheikh sufi bernama Sheikh Odbali mendidik Utsman menjadi seorang mujahid agama. Sheikh itu mengahwinkan Othman dengan anak perempuannya dan memberi gelaran ‘alghazi’ bermakna Pejuang. Di samping wasiat beliau agar mewakafkan nyawanya untuk berjihad fi Sabilillah di bumi Rom.
Demikianlah, Othman terus maju hingga sampai ke bandar Bursa di pantai Laut Murmura. Ramai penduduk Rom yang tinggal di kawasan itu memeluk Islam dan berhijrah ke dalam wilayah Islam. Kebanyakan zuriat mereka menjawat jawatan pegawai di dalam pemerintahan negara Islam ini. Sultan Othman wafat pada 1326 M diganti oleh anaknya, Urkhan(1326-1362M) memerintah negara yang kuat dan mempunyai struktur pemerintahan yang kukuh. Beliau dapat membuka Bursa lalu memindahkan pusat kerajaan ke situ. Seterusnya, beliau menguasai Iznik (1331 M) dan Izmir (1337 M). Apabila wilayah Qura Si menjadi wilayah Othmaniah (1335-1345M) kebanyakan rumpun bangsa Turki yang menetap di pinggir Asia Minor berhijrah berduyun-duyun ke dalam Negara Islam ini.
Ia berlaku berikutan satu fatwa yang dikeluarkan oleh Fuqaha yang menjadi para penasihat para Sultan dalam urusan perundangan mengatakan bahawa setiap orang yang memeluk Islam secara automatik menjadi warganegara asli. Hasilnya, kebanyakan bangsa Rom di situ memeluk Islam dengan pilihan sendiri.
Maka berkembanglah pemerintahan Othmaniah dan berjaya melakukan pembukaan kawasan Islam termasuk Konstantinople dan wilayah Eropah Timur.