Tuesday, August 02, 2016

Senjata Api Kerajaan Melaka

Lakaran Pahlawan Melaka
Benarkah Melayu melawan Portugis menggunakan senjata sederhana? Bagaimana pula dengan dakwaan bahawa senjata api Melayu yang ada tidak mampu menandingi kehebatan Portugis?

John Crawfurd memetik catatan De Burros dalam bukunya, A Descriptive Dictionary of the Indian Islands and Adjacent Countries, bahawa ketika Portugis menawan Melaka dahulu, mereka berjaya merampas antara 3000 hingga 8000 senjata api daripada Melaka, dan De Burros sendiri mengatakan bahawa Portugis sendiri tidak mampu untuk menghasilkan senjata api sebanyak itu. Bahkan catatan De Burrous menjelaskan lagi kepada kita bahawa Portugis menjumpai sebuah meriam Melayu Melaka yang jauh lebih besar daripada meriam yang dipunyai oleh Portugis dan meriam itu telah dihantar ke India.
Catatan yang lain pula, seperti yang dinukilkan oleh Godinho Eredia dalam buku Asia Portugueza, karya Manuel de Faria Y Souza dalam E. Koek, Portuguese History of Malacca, sewaktu kedatangan Portugis di Melaka, jumlah meriam yang dipunyai kerajaan tersebut adalah sangat banyak. Tiga ribu pucuk meriam besar telah dijumpai dalam kota Melaka, 5000 pucuk lagi telah sempat dibawa lari oleh tentera Melaka apabila kota itu tumbang.
Albuquerque menyatakan bahawa terdapat 2000 pucuk meriam yang diperbuat daripada tembaga dan yang lain diperbuat daripada besi di Melaka. Faria y Souza mengatakan bahawa sebahagian besar daripada 8000 pucuk senjata api atau meriam yang dipunyai kerajaan Melaka adalah berasal dari Pahang. Ini bermakna Pahang merupakan sebuah negeri penghasil senjata api yang berkualiti dan banyak pada zaman itu.

Terakol
Menurut Eredia lagi, semua meriam-meriam itu dihasilkan dengan amat baik dan tidak dapat ditandingi walaupun dengan meriam buatan Portugis. Daripada catatan Eredia ini, dapat disimpulkan bahawa teknologi senjata api yang dimiliki oleh bangsa Melayu Melaka pada waktu tersebut adalah sama tarafnya dengan teknologi persenjataan orang Eropah, malahan mungkin lebih baik.
Seorang berbangsa Itali yang terlibat di dalam penyerangan terhadap Melaka pada tahun 1511 menyatakan bahawa terdapatnya penggunaan pelbagai jenis senjata api berat yang telah menyebabkan kehilangan nyawa yang agak ramai di pihak portugis. Menurut beliau, walaupun akhirnya tentera Melayu Melaka kalah, namun mereka digambarkan mempunyai semangat keperwiraan yang tinggi, sangat terlatih dalam ilmu peperangan dan mempunyai simpanan senjata yang bermutu serta pelbagai.
Thomas John Newbold, seorang pegawai British di Melaka pernah mencatatkan di dalam Political and Statistical Account of the British Settlements in The Straits Of Malacca, Volume 2 bahawa kilang-kilang yang menghasilkan senjata api seperti meriam-meriam milik bangsa Melayu sudah lama bertapak bukan sahaja di Semenanjung Tanah Melayu, bahkan di sekitar Kepulauan Melayu. Terengganu menjadi hub penghasilan senjata api di Semenanjung, manakala Gerisik merupakan hub untuk Pulau Jawa, dan hub untuk Sumatera pula ialah Minangkabau.
Istinggar
Bahkan Newbold turut mengulas mengenai pemandangan biasa yang dilihatnya ketika berada di Tanah Melayu pada abad ke-18 yang dipercayai Newbold sudah lama budaya itu itu bertapak di Tanah Melayu. Katanya, tidaklah sesuatu yang menghairankan andai dapat melihat pendekar Melayu yang lengkap bertanjak dan berbusana Melayu bersama keris dan senjata api Melayu seperti Istingar.
Bukan setakat itu sahaja, bukti aktiviti pembuatan senjata api di Pahang telah direkodkan oleh W. Linehan didalam kertas kerjanya yang berjudul Some Discoveries on the Tembeling. Di tebing-tebing Sungai Tembeling yang terletak di Pahang, Linehan telah menjumpai acuan-acuan purba yang digunakan untuk membuat meriam yang dianggarkan seawal kurun ke 13 ATAU 14, iaitu lebih awal daripada kejatuhan Melaka di tangan Portugis.

Meriam Seri Patani
Seorang pengkaji sejarah iaitu Nicholas Tarling di dalam bukunya The Cambridge History of Southeast Asia pernah membandingkan senjata api Melayu dengan senjata api buatan Jerman yang merupakan senjata api terbaik pada abad ke-15, bahkan diceritakan mengenai kehebatan senjata api Melayu yang dikatakan tidak mempunyai tandingannya, walaupun senjata api Portugis itu sendiri. Turut dicatatkan dalam buku itu mengenai bagaimana meriam-meriam yang disusun di setiap penjuru kota Melaka telah banyak membedal nyawa askar Portugis ketika mereka mula mendarat di bumi Melayu ini.
Kita lihat pula tulisan R. J. Wilkinson, “The Capture of Malacca, A.D. 1511”. Beliau menyebut mengenai beberapa perkataan sepert “Malay gun-fire” dan “heavy fire” merujuk kepada bala askar Melaka ketika itu ketika menceritakan mengenai kejatuhan Melaka yang boleh dijadikan dalil bahawa orang Melayu kita ketika itu sudah memiliki senjata api.