Pada
tahun 1491
(Prof.
Mahmud Brelvi)
Pada akhir kurun ke-15, kerajaan Islam di
Spanyol tinggal hanya bandar Granada dan
beberapa bandar lain serta beberapa pelabuhan. Kawasan-kawasan lain di Spanyol
telahpun ditawan oleh kerajaan Kristian. Apabila dua orang anak raja, iaitu
Ferdinand V, putra raja Aragon berkahwin dengan Isabella putri raja Castille,
kedua-dua kerajaan berpakat untuk menamatkan riwayat Islam di Spanyol.
Tentera bersekutu kedua-dua kerajaan
kemudian datang menyerbu Granada yang pada masa itu dalam keadaan lemah akibat
berbagai masalah dalaman. Granada pada waktu itu diperintah oleh Abu Abdullah
Muhammad Ibni Sultan Abdul Hassan al-Nasrid. Orang Spanyol lebih mengenalinya
dengan nama Boabdil.
Tentera bersekutu ini kemudiannya
mengepung Granada. Kepungan ini berlangsung selama 7 bulan. Dalam masa ini
tentera Islam cuba membuat perlawanan beberapa kali. Serangan-serangan ini dipimpin oleh seorang
pahlawan Islam, Musa bin Abil Ghassa yang tidak menyerah sehinggalah saat-saat
akhir. Tetapi Sultan Abu Abdullah Muhammad alias Boabdil menyerah kepada
tentera Kristian selepas tentera Kristian memberikan jaminan akan menghormati
hak-hak orang Islam beragama, jiwa, harta dan kehormatan. Ini menyebabkan
pahlawan-pahlawan Islam, termasuk Musa bin Abil Ghassan jatuh ketangan tentera
Kristian. Akan tetapi mereka lebih rela mati secara terhormat daripada hidup
sebagai tawanan.
Granada telah menyerah pada bulan
Disember 1491 bersamaan bulan Safar 897H. Kemudian tentera Kritian telah memasuki
bandar itu pada 2 Januari 1942 bersamaan 2 Rabiul Awwal 897H. Mereka
kemudiannya memasang sepanduk-sepanduk lambang Kristian di Alhambra. Maka
berakhirlah kemasyhiran dan kekuasaan Islam di bumi Spanyol. Serentak dengan
ini kebudayaan agung Islam Andalusia hancur berkecai. Walau bagaimana pun
Lembah Xenil dimana Granada terletak belum lagi menyaksikan nasib yang lebih
buruk.
Hanya selepas beberapa tahun kejatuhan
kerajaan Islam di Granada, pemerintah Kristian telah melanggar janji mereka
mengenai jaminan keselamatan dan kesejahteraan nyawa, harta, kehormatan serta
kepercayaan ummat Islam. Masjid-masjid ditutup dan bahkan dirobohkan.
Orang-orang Islam dipaksa menukar agama mereka. Jika enggan mereka akan dihukum
dengan hukuman yang berat. Kerajaan Krisitan telah mengeluarkan undang-undang
yang memestikan orang-orang Islam memeluk agama Kristian. Siapa yang enggan
akan dihalau keluar dari Spanyol. Orang-orang Islam yang lemah telah murtad.
Ini berlaku pada tahun 1499. Sebahagian orang-orang Islam memberontak tetapi
telah dipadamkan dengan kekerasan. Sebahagian besar daripada mereka terpaksa
melarikan diri ke Maghribi, Mauritania, Algeria, Tunisia dan tempat-tempat lain
yang selamat.
Apabila Charles V ditabalkan sebagai raja
baru, saki baki orang Islam coba menuntut keadilan dengan membawa kes mereka ke
mahkamah. Tetapi mahkamah memutuskan undang-undang yang memaksa mereka menjadi
Kristian adalah sah dan memerintahkan saki baki orang Islam ini segera masuk
Kristian atau keluar dari bumi Spanyol dengan serta merta. Jika enggan mereka
akan dibakar hidup-hidup dalam upacara pembakaran yang diselenggarakan oleh
mahkamah. Upacara pembakaran ini telah diciptakan oleh mahkamah kononnya untuk
mengelakkan darah tertumpah.
Kemudian Bishop Seville telah mengeluarkan
arahan supaya orang-orang Moriscoes, (iaitu gelaran yang diberikan kepada
orang-orang Islam yang telah dikristiankan), dalam tempoh sehari menukar cara
mereka berpakaian, bahasa mereka, kebiasaan dan perangai mereka. Setiap orang
Kristian Spanyol diberikan kuasa untuk memerhatikan tindak tanduk orang-orang
Moriscoes. Berikutan dari arahan ini tempat-tempat hukuman khas telah diadakan
di merata tempat di Granada untuk menghukum sesiapa yang gagal mematuhi arahan
Bishop ini. Ini telah mengakibatkan pembunuhan kejam dan penyiksaan berleluasa
di Granada, Cordova, Seville dan Valencia.
Semasa zaman pemerintahan Philip II,
orang-orang Moriscoes yang amat tertekan itu bangun memberontak tetapi dengan
tindakan yang kejam pemberontakan ini telah dipadamkan pada tahun 1569.
Philip III pula telah mengeluarkan
dikri yang kejam, iaitu menghalau seluruh orang-orang Moriscoes yang
kebanyakannya tinggal di Murcia dan Valencia, keluar dari Spanyol pada tahun
1609. Natijahnya ialah mereka semuanya dikeluarkan dari bumi Spanyol.
Orang-orang Moriscoes yang duduk di bahagian selatan lari ke Afrika Utara
manaka yang di utara lari ke Perancis dan menetap di Languedoc dan Guyenne.
Demikianlah tamatnya riwayat tamaddun
Islam di Spanyol.
Rujukan:
Enam M.A., “Decisive Moment in the
History of Islam”: 213-238
Stanley Lane-Poole, “The Moores in
Spain” : 25,102,184,217